Semua Orang Melayu Harus Tahu Tokoh Ini

Kalau sebut nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, memang satu Malaysia kenal. Tapi tak ramai yang tahu kisah sebenar di sebalik kejayaan beliau. Seorang lelaki dari keluarga biasa di Kampung Hutan Keriang, Kedah, akhirnya berjaya menjadi jutawan Melayu yang bukan sekadar kaya, tapi juga pemurah. Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan pada 1951 di Alor Setar, Kedah. Asal usul keturunan keluarganya dari Hadhramaut, Yemen sebelum menetap di Kedah sekitar 1940-an.

Hidup mereka serba kekurangan, tinggal di rumah kayu kecil tanpa katil, meja, atau kerusi. Susah nak bayangkan macam mana anak muda itu belajar dalam keadaan macam tu.

Seawal usia muda, Syed Mokhtar dah bantu keluarganya cari rezeki. Beliau tolong ibunya tanam sayur, jual nasi lemak dan juga menjual roti canai di pasar Jalan Telok Wan Jah.

Masa sekolah, beliau pula bantu bapanya jaga lembu dan kerbau. Tapi wabak kaki dan mulut yang melanda pada 1970-an musnahkan ternakan keluarga. Keadaan tu memaksa Syed Mokhtar buat keputusan beralih arah.

Beliau mula membeli daging lembu yang tak terjual di pasar, bungkus dengan ais, dan jual semula kepada peniaga Bumiputera. Dari situ, beliau kembangkan perniagaannya sedikit demi sedikit.

Pada 1972, beliau buka syarikat Pengangkutan Sentosa hasil pinjaman RM110,000 daripada MARA untuk beli dua lori Mercedes. Dengan lori tu, beliau mula menceburi bisnes beras.

Industri beras ketika itu didominasi oleh bangsa Cina. Kalau nak masuk, mesti melalui kerjasama dengan pemain-pemain besar dalam pasaran.

Beliau bersama tiga rakan kongsi berbangsa Cina menubuhkan Bukhary Sdn Bhd. Tapi ada syarat penting. Syed Mokhtar mahu pegang saham majoriti.

Tak lama selepas itu, ada cabaran besar. Rakan kongsinya buat keputusan mendadak untuk naikkan modal berbayar. Semua pemegang saham diminta sumbang modal secara tunai.

Syed Mokhtar tak ada pilihan. Kalau beliau tak dapat sediakan duit RM200,000, pegangannya akan berkurangan dan jadi pemegang saham minoriti.

Beliau terpaksa minta bantuan ibu bapanya. Dengan penuh kepercayaan, kedua-dua ibu bapanya setuju untuk cagarkan dua bidang tanah kepada bank sebagai jaminan pinjaman.

Dengan duit pinjaman itu, Syed Mokhtar berjaya kekalkan saham majoritinya. Tapi dari insiden ini, beliau belajar sesuatu yang sangat penting.

Sejak itu, setiap syarikat usahasama yang beliau tubuhkan mesti ada klausa khas untuk melindungi pegangan saham Bumiputera. Beliau pastikan aset Bumiputera tak boleh dicairkan atau dikurangkan dalam apa juga keadaan.

Pada 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan dapat kontrak untuk bekalkan beras kepada FELDA, MARA Senama dan Pernas Edar.

Kejayaan kecil dalam perniagaan beras menjadi titik tolak untuk Syed Mokhtar melangkah lebih jauh. Beliau mula mengembangkan perniagaannya kepada gula, pakaian seragam tentera, dan komoditi lain. Beliau juga berjaya dapat kontrak besar untuk membekalkan pakaian seragam tentera dan kasut.

Pada waktu itu, Syed Mokhtar buka dua syarikat penting antaranya Amtek Holdings untuk pembuatan kasut dan Oriental Garments Uniform Division untuk pakaian seragam tentera.

Namun, dalam perjalanan kejayaan, ada juga kegagalan. Bila beliau cuba masuk dalam perniagaan perkapalan, beliau beli kapal Angsa Mas dari Jerman pada harga USD1 juta, tapi akhirnya rugi besar dan terpaksa jual semula pada harga USD600,000.

Kegagalan itu tak melemahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau terus ke depan dan mula fokus kepada pembangunan hartanah serta projek penswastaan besar seperti Johor Port dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

PTP berjaya tarik syarikat perkapalan antarabangsa seperti Maersk Sealand dan Evergreen Marine untuk pindah dari Singapura ke Malaysia.

Dalam dunia korporat, nama Syed Mokhtar terus mekar. Beliau berjaya memiliki pegangan dalam syarikat-syarikat gergasi seperti MMC Corporation, Malakoff Berhad, Bernas, dan DRB-HICOM.

Selain itu, beliau turut memiliki MPH, syarikat buku terkenal, menjadikannya antara tokoh Bumiputera paling berpengaruh dalam ekonomi Malaysia.

Sumber : Klik sini

Leave a comment