
Hari tu saya kongsikan satu fakta yang buat ramai terkejut: lebih 60,000 warga Israel kini sudah berada di Cyprus. Bukan sekadar melancong. Ramai daripada mereka sedang berpindah secara kekal, atau setidaknya menetap untuk jangka masa panjang.
Cerita ini bermula senyap-senyap. Sikit demi sikit, mereka datang. Mula-mula katanya sekadar mahu “rehat” dari ketegangan di tanah air mereka. Kemudian, mereka mula beli rumah. Bila harga rumah makin naik, mereka ubah strategi. Bukan beli sebagai individu, tapi tubuhkan syarikat atas nama rakyat Cyprus. Kononnya pelaburan luar, tapi hakikatnya syarikat itu dikawal oleh orang mereka juga.
Limassol, Larnaca, Paphos. Tiga kawasan yang dulunya tenang, sekarang berubah wajah. Ada projek besar dibina khas untuk warga Israel, resort mewah, kawasan kediaman berpagar, rumah-rumah pantai yang dihias moden ala Tel Aviv. Di sesetengah tempat, orang tempatan sendiri kata, mereka rasa seperti orang asing di tanah sendiri.
Tak cukup dengan itu, mereka mula membina komuniti sendiri. Ada lima buah sinagog yang aktif di seluruh pulau. Di Limassol saja, dah ada ratusan keluarga Israel yang hidup seperti satu bandar kecil. Pusat jagaan kanak-kanak, restoran kosher, pasar mini yang hanya guna bahasa Hebrew, dan yang paling mengejutkan rancangan membina sebuah mega sekolah bernilai puluhan juta euro, lengkap dari tadika sampai tingkatan enam, semuanya berorientasikan budaya Yahudi.
Cerita ini jadi lebih hangat bila berlaku konflik besar di Timur Tengah. Lapangan terbang di Israel ditutup. Warga Israel yang terkandas, terutama golongan kaya dan berpendidikan, beramai-ramai ke Cyprus. Ada yang hanya mahu tunggu keadaan reda, tapi ramai yang terus buat keputusan drastik, panjangkan visa, beli hartanah, bukak syarikat. Bagi mereka, Cyprus adalah ‘exit plan’ yang paling dekat dan paling stabil.
Yang merisaukan ialah bagaimana ini semua berlaku begitu terancang. Mereka bukan datang sebagai pelarian biasa. Mereka datang dengan duit, dengan pelaburan, dengan rangkaian perniagaan. Mereka masuk dari pintu depan—dengan sokongan kerajaan Cyprus yang membuka peluang pelaburan dan pemilikan syarikat asing.
Dan begitulah, sikit demi sikit, tanah Cyprus bertukar tangan.
Dari pantai yang dulunya milik nelayan tua, kini jadi kawasan berpagar yang dijaga rapi. Dari sekolah tempatan yang dulunya penuh suara kanak-kanak Greek, kini mula bersebelahan dengan sekolah baru yang dibiayai pelabur luar.
Rakyat Cyprus mula bersuara. Pemimpin parti pembangkang seperti Stefanos Stefanu menyatakan kebimbangan. Katanya ini bukan sekadar pelaburan. Ini adalah pendudukan senyap. Dalam diam, tanah-tanah strategik terjual. Infrastruktur dibina tanpa melibatkan komuniti tempatan. Harga rumah melambung, anak muda Cyprus makin tak mampu beli rumah sendiri. Dan yang lebih menakutkan, satu komuniti asing sedang berkembang, hidup dalam sistem mereka sendiri tanpa perlu pun bergaul atau bergantung pada masyarakat tempatan.
Cerita ini masih berlangsung. Dan setiap hari, angka itu terus naik. Mereka datang dengan strategi, dengan dana, dengan visi. Dan kalau tak ditangani segera, mungkin Cyprus akan jadi kisah baru dalam sejarah: bukan dijajah dengan senjata, tapi dengan pen dan pelaburan.
Dan semua itu… bermula dengan satu keluarga, satu rumah, satu perjanjian jual beli yang nampak kecil. Tapi bila dikumpulkan, satu persatu… ia menjadi satu gerakan yang sangat besar.
Sumber : Klik sini

